Saturday 14 April 2012

Anugerah Dalam Kegagalan


Dalam kehidupan ini, kita berlumba - lumba mengejar sesuatu dan kita selalu mendapat apa yang kita mahukan. Ia membuat kita tersenyum puas, ketawa dan mengenal erti bahagia.

Di samping itu juga kita tidak sedikit diusik dengan kegagalan yang mengecewakan hingga kita berusaha sedaya mungkin untuk melupakannya. Kita terduduk kebingungan dan mengeluh. Kemudian, kita bergelut dengan perasaan kecewa bangkit berdiri dan mengambil posisi bagi meraih kembali segala yang dicita - citakan. Kita cuba programkan diri kita bagaikan sebuah sistem komputer.

Namun tidak ramai dari kita menyedari wujudnya Anugerah Terhebat di sebalik kegagalan itu.

Berapa ramaikah daripada kita yang berjaya memetik Anugerah Terhebat yang terkandung dalam...

kesusahan demi kesusahan,

kekurangan demi kekurangan,

kesakitan demi kesakitan,

kehilangan demi kehilangan,

penolakan demi penolakan,

kekecewaan demi kekecewaan

dan...

kegagalan demi kegagalan?
 

Dua Sebab Kita Buta

(1) Antara sebab kita tidak menyedari adanya Anugerah Terhebat di sebalik kegagalan adalah kerana kita terlalu asyik menyelami kegelapan perasaan kecewa hingga ia meresapi hati dan akal kita. Sehingga pernah di antara kita terlanjur berkata " Ya Tuhanku, apakah dosaku hingga Engkau memberi musibah ini..". Dengan kata - kata seperti ini kita menarik lebih banyak mudarat.

(2) Sebab yang lain ialah kita memiliki mindset yang salah. Masyarakat kita selalu memomokkan bahawa Kejayaan adalah Kejayaan yang Sempurna dan Kegagalan adalah Kegagalan yang Sempurna. Sedangkan, mindset yang sebetulnya ialah Kejayaan dan Kegagalan Duniawi itu ada Rahmat dari ALLAH SWT.


Tiga Nasihat

(1) Ketentuan ALLAH

Semua kejadian adalah terjadi disebabkan kemahuan & kekuasaan ALLAH SWT. Kita mesti yakin dengan sepenuh hati.

(2) Rahmat ALLAH

Mengapakah ALLAH YANG MAHA SUCI, MAHA PENGASIH dan MAHA BIJAKSANA memberi kita kegagalan yang selalu kita sebut sebagai musibah? Sedangkan kita ini Islam, bukan kafir?
Untuk memudahkan kita mendapat Anugerah Terhebat, kita harus menggantikan perkataan musibah kepada RAHMAT. Jika kita mendapat kegagalan, ingatlah bahawa ALLAH sedang memberi RAHMAT.  Maka, hendaklah kita melahirkan perasaan syukur kepada NYA.

(3) Mesej Dari ALLAH

Kegagalan yang dianugerahkan oleh ALLAH mempunyai maksud atau mesej yang disampaikan oleh ALLAH SWT kepada kita.

ALLAH memberi mesej supaya kita...

  • kembali bertaubat
  • kembali mengingati ALLAH dan meninggalkan sifat lalai
  • kembali berharap dengan sepenuh hati kepada NYA dan tidak kepada yang lain
  • kembali bertakwa
  • kembali bertaqarrub
  • kembali mengenal ALLAH
  • kembali hanya mencintai ALLAH dengan sepenuh hati
  • kembali mencari REDHA ALLAH

Dengan memahami dan berlapang dada menerima mesej dari ALLAH SWT akan membuat kita berjaya menerima kurnia Anugerah Terhebat dari NYA. Musibah akan menjadi LIMPAHAN LAUTAN RAHMAT DARI ALLAH.



Dalam kesusahan ada kesenangan,

Dalam kekurangan ada kelebihan,

Dalam kesakitan ada kesihatan,

Dalam kehilangan ada penemuan,

Dalam penolakan ada penerimaan dan pemberian,

Dalam kekecewaan ada kebahagiaan,

Dalam kegagalan ada kejayaan.





"Penolakan dari ALLAH terasa pedih bagimu hanya kerana engkau tidak mengerti rahmat ALLAH di sebalik penolakan itu",



"Agar pedihnya ujian terasa ringan, hendaklah engkau mengetahui bahawa ALLAH-lah yang sedang mengujimu. Dan kerana yang menimpakan takdir-NYA kepadamu adalah ZAT yang juga biasa memberimu sebaik - baik pilihan (dalam hidup)",



"Apabila ALLAH telah membuatmu merasa bosan dengan makhluk, maka ketahuilah bahawa DIA hendak membukakan untukmu pintu keintiman dengan NYA",

- Syaikh Ibnu 'Atha'illah ( kitab al - Hikam )











 Najib Motivator
15-04-2012

No comments:

Post a Comment