Friday 25 May 2012

Sajak : Jika Aku Masih Hidup



Jika kuhidup selama - lamanya
inginku menghirup madu semua bunga di taman
inginku miliki selonggok emas dan permata
inginku dirikan sebuah istana termewah
dan inginku mengukir namaku biar terkenal lagi harum.

Jika kumati esok hari
tiada guna lagi semua bunga yang kubanggakan
akan kucampakkan semua emas permata
akan kubakar hangus istanaku tanpa bersisa
dan akan kuhapuskan namaku yang terukir hingga tiada seorang mengenaliku
kerana aku pasti amat kecewa jika namaku tiada dalam senarai 'Hamba - hamba yang dikasihi ALLAH'.

Jika ku masih hidup
inginku utamakan ALLAH dalam setiap hal, keadaan dan perbuatan
inginku sebut nama NYA selalu dalam tiap nafasku
inginku cinta dan rindu DIA dalam rahsia
hingga ia akan menjadi matlamat hidupku
mengenal NYA adalah emas permata
tiada lagi darjat bahagia yang lebih agung dari ini.


26 - 05 - 12

Sunday 20 May 2012

Nasihat Saya Kepada Pendakwah Muda


As salaamu'alaikum.

Artikel kali ini saya tujukan untuk semua (termasuk diri saya sendiri) dan khasnya kepada semua yang mencintai agama yang baru mula belajar - belajar untuk menjadi Da'i (pendakwah) yang ingin menasihati saudara-saudara se-Islam atas dasar cinta kepada ALLAH SWT.

Saranan di bawah bukanlah ingin menggantikan atau menambahkan sesuatu dari ilmu para 'Ulama yang termuat dalam kitab - kitab mereka dalam bab ini. Tetapi ia hanya sekadar menjadi saranan peribadi hasil daripada pengalaman bersama sahabat-sahabat Da'i dan para Mukhlisin dan ilmu yang saya timba di sepanjang perjalanan saya.



5 Nasihat


1) BERSEMANGAT BELAJAR ILMU AGAMA.

Belajarlah ilmu ISLAM terus-menerus sampai kita menemui ajal. Jangan berhenti. Jangan jadi jahil murakab (jahil tapi tak mau belajar dan anggap diri dah alim). Jangan cukup dengan bertaklid seperti berkata "ustaz sifulan itu yang berkata begitu..", tapi hendaklah berbicara dengan bersandarkan dalil-dalil ilmi'ah. Harus kita tahu yang mana wajib dan sunnat, yang mana lebih utama dan sebagainya. Mantapkanlah 3 ilmu FARDHU 'AIN iaitu:


a) ilmu Tauhid / Ushuluddin / Sifat 20
b) ilmu Fiqh / Syari'at
c) ilmu Tasawwuf / Thariqat 
 

Beberapa tahun yang lepas, secara tidak sengaja saya menemui seorang yang bergelar ustaz yang saya percaya seorang ahli kasyaf. Beliau menasihatkan saya dalam mempelajari ilmu agama kita perlulah meniru seperti haiwan buas memakan mangsanya. Makan semuanya. Ambillah ilmu itu semuanya tanpa mempedulikan siapa yang berbicara. Kemudian barulah kita tapis (english- filter) ilmu - ilmu tersebut mengikut modul al- Quran & as- Sunnah  (bersependapat dengan 'Ulama- u'lama muktabar).
 

2) BICARA HIKMAH ITU ADALAH KEMAHIRAN KOMUNIKASI 

Ramai Da'i Muda yang pernah saya temui tidak memahami apakah maksud berhikmah. Oleh itu selalu saya memberi penjelasan dengan menggantikan perkataan hikmah kepada perkataan BERKOMUNIKASI DENGAN KEMAHIRAN untuk memudahkan kefahaman. Kita perlu tahu psikologi manusia sebelum menasihati hati orang lain. Nasihat itu bukanlah untuk memberikan ilmu, tapi untuk menyentuh hati dan perasaan.


Ada seorang kawan di tempat kerja saya berkata bahawa dia tidak peduli apa tindak balas orang yang dia nasihatkan, sakit hati atau makan hati, asalkan dia sudah menunaikan tanggungjawabnya menasihati.


Bagi saya, berbicara secara 'direct' bukanlah cara yang diajarkan kepada kita. Pernah saya terbaca bahawa Imam Syafi'e R.A sendiri tidak akan menerima teguran secara 'direct', di hadapan orang ramai, walaupun beliau sememangnya salah. Kerana menurutnya menasihati secara begitu adalah suatu penghinaan.


Kemahiran berkomunikasi secara psikologi adalah sesuai dengan kehendak Islam. Bahkan sememangnya ada dalam Islam. Ini mungkin method dakwah & nasihat Sunan Kalijaga ( Raden Syahid R.A ), salah seorang walisongo di Indonesia.


Jika anda ingin memahami apa yang saya maksudkan tentang 'Kemahiran Komunikasi', bacalah sebuah buku yang bertajuk How to Win Friends and Influence People ditulis oleh Dale Carnegie yang sudah lama ada dalam pasaran di Malaysia. Terdapat juga dalam edisi Bahasa Malaysia. Buku ni adalah masterpiece dalam psikologi.


3) BERSIHKAN HATI DAN FIKIRAN DARI LINTASAN NEGATIF

Janganlah kita suka bersangka jahat dengan manusia lain walaupun dengan jelas kita lihat mereka itu melakukan maksiat terhadap ALLAH SWT. Kita bukan sahaja tidak boleh bersangka jahat kepada saudara Muslim, tetapi juga kepada yang bukan Muslim (kafir). Berjahat sangka itu adalah maksiat bathin yang diharamkan.


Haruslah kita selalu bersangka baik. Mungkin sebelum kita berhenti bersangka jahat, sifulan itu sudah bertaubat. Atau mungkin si kafir itu masuk Islam sebelum dia mati. Berjahat sangka hanyalah merugikan diri kita sendiri.


Namun begitu, tidaklah boleh kita berhenti dakwah & menasihati apabila berpeluang melakukannya.


4) KEMBALIKAN KESUDAHAN KEPADA ALLAH SWT - TAUHID

Jika kita sudah menasihati, sama ada dia menerima atau menolak, bersyukurlah kepada ALLAH SWT kerana telah mengurniakan amal itu kepada kita. Jangan peduli sama ada dia menerima dengan lapang hati atau mencampakkan ia ke tanah.


Hidayah itu milik ALLAH SWT. Ia dikurnia oleh ALLAH SWT bukannya anda dan kata - kata anda. Serahkan semuanya kepada DIA dan janganlah membenci saudara anda itu jika dia tidak mendengar kata - kata anda itu. Jika ALLAH SWT tidak mahu memberikan hidayahNYA kepada dia, lakukanlah apa sahaja sekalipun maka dia tetap begitu. Berdo'alah kepada DIA.
Redha lah kepada semua ketentuan NYA.


5) IKHLAS

Haruslah kita sentiasa membersihkan hati dari semua lintasan - lintasan mazmumah.
Ia adalah hal yang sukar jika tidak diusahakan. Dalami lah ilmu Tasawwuf / Thariqat bergurukan seorang Mursyid untuk membersihkan semua kotoran hati hingga mencapai tingkatan orang soleh iaitu Muhsinin.





Semoga kita semua Sukses mendapat kejayaan yang hakiki iaitu KEREDHAAN ALLAH SWT.








Salam Sukses.
 

Najib Motivator
20 - 05 - 2012